Powered By Blogger

Tuesday, March 15, 2016

Di Malaysia Industri Pelancongan merupakan salah satu punca pendapatan negara yang diperolehi daripada aliran masuk wang asing.Malaysia juga terkenal dengan destinasi hub halal dan menjadi tumpuan pelancong asing terutamanya Asia Barat, Timur Tengah dan Asia Tenggara.Industri pelancongan Malaysia mencatat purata kemasukan pelancong asing sebanyak 2juta setahun.Oleh itu terdapat pelbagai usaha yang dapat dilakukan untuk meningkatkan industri pelancongan di Malaysia.
Dalam konteks dunia hari ini, pelancongan merupakan salah satu kegiatan ekonomi dan sosial yang semakin penting. Jumlah pelancong dalam negeri dan antarabangsa semakin meningkat malah, beberapa buah negara di dunia kini memajukan sektor pelancongan sebagai sektor utama yang menjana pendapatan negara .Pelancongan juga merupakan sektor yang melibatkan peranan yang saling kaitan antara pihak kerajaan, bukan kerajaan dan juga orang awam.Selain itu pelancongan menjadi satu bidang baru yang dapat memacu pertumbuhan industri-industri lain yang berperanan sebagai wahana dalam pembangunan mega Malaysia menuju Negara maju menjelang 2020.Dalam sistem pelancongan aspek yang perlu diberi penekanan adalah kewujudan pelancong, pembekal barang ataupun perkhidmatan pelancongan, kerajaan dan juga tuan rumah destinasi yang terpilih.Dalam erti kata lain keempat-empat elemen ini perlu terlibat dalam mewujudkan sebuah industri pelancongan.Apabila seseorang itu melancong bermakna mereka adalah pelancong yang memerlukan perkhidmatan seperti penginapan dan pengangkutan.

Tahap pembangunan industri pelancongan di dalam Program Tranformasi Negara (NTP) telah memberi sumbangan ketara kepada ekonomi negara.Sektor pelancongan negara kini menjadi penyumbang keenam terbesar kepada ekonomi negara dengan sumbangan sejumlah RM161 bilion atau 14.9 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2014.Walaupun Malaysia sengsara yang menyaksikan dunia bersedih namun industri pelancongan masih mampu menarik 27.44 juta pelancong dengan pendapatan berjumlah RM72 bilion.Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan atas kempen promosi yang agrresif di luar negara membuatkan Malaysia
tidak lagi dikenali sebagai negara antara Singapura dan Thailand.Kempen promosi ini telah berjaya menampilkan keunikan, keharmonian dan kepelbagaian budaya.
Sumbangan industri pelancongan terhadap pembangunan ekonomi negara telah menarik pelabur sebanyak RM19.4 bilion serta mewujudkan sejumlah 1.77 juta peluang pekerjaan.

Malaysia mempunyai alam semula jadi yang unik dan mempunyai banyak  pulau yang menawan.Negara Malaysia mampu menjadikan industri pelancongan sebagai sumber utama pendapatan negara jika alam semula jadi itu dieksploitasi sepenuhnya. Berdasarkan jumlah pelancong yang semakin bertambah ke negara kita sejak belakangan ini, jelas menunjukkan bahawa negara ini mempunyai daya tarikannya yang tersendiri. Buktinya, sepanjang tahun 2009, Malaysia telah dikunjungi oleh 22 juta orang pelancong yang menyumbangkan pendapatan sebanyak RM48 bilion kepada negara. Keunikan budaya rakyat yang berbilang kaum menjadi aset penting dalam usaha negara menggamit kedatangan pelancong. Setiap anak watan perlu merancang usaha-usaha yang istiqamah,pragmatik dan efektif perlu diambil untuk melihat industri ini merentasi benua dan dunia.Kerajaan melalui Kementerian Pelancongan Malaysia wajar menyediakan maklumat lengkap tentang sesuatu destinasi menarik yang terdapat di negara ini, khususnya di tempat-tempat baharu yang dikenal pasti boleh menjadi daya tarikan yang menguntungkan. Hal ini dapat dilakukan sama ada menerusi media cetak seperti risalah, buku, poster, majalah, dan akhbar atau media elektronik seperti radio dan televisyen. Selain itu, dengan kewujudan halaman pelancongan dalam internet juga merupakan cara terbaik untuk memperkenalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang wajar dikunjungi oleh pelancong asing.

      Faktor utama pelancong datang di sesebuah negara adalah kerana kemudahan prasarana seperti pengangkutan dan perhubungan yang terdapat di sesebuah negara. Hal ini kerana pelancong yang berkunjung ke sesebuah negara ingin keselesaan dan mencari ketenangan. Oleh itu, kerajaan wajar memperlengkapkan kemudahan pengangkutan dan komunikasi yang ada khususnya untuk memudahkan pelancong sampai ke destinasi yang akan dituju. Misalnya, banyak  pelancong yang datang ke negara kita adalah untuk menikmati keindahan pulau dan pantai. Oleh itu, kerajaan harus menambah kemudahan perkhidmatan bot atau feri dari tanah besar ke beberapa buah pulau di sekitar Laut China Selatan untuk memudahkan orang ramai menikmati keindahan alam semula jadi. Tugas menyediakan kemudahan ini akan lebih berkesan sekiranya kerajaan sentiasa mengawasi syarikat yang ditugaskan untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan tersebut. Sudah terang lagi bersuluh bahawa kemudahan yang baik akan memudahkan para pelancong menelusuri dari satu destinasi pelancongan ke satu destinasi pelancongan yang lain dan dapat membangunkan industri ini.Selain itu, kemudahan penginapan yang selesa seperti hotel, chalet, tandas, bekalan air dan elektrik turut menjadi faktor penting dalam menarik banyak pelancong mengunjungi negara kita. Kemudahan penginapan penting kerana situasi ini akan menentukan sama ada seseorang pelancong itu akan tinggal lama atau sebaliknya. Jika tempat penginapan selesa dan lengkap,  hal ini akan mendorong seseorang pelancong itu tinggal lebih lama di negara ini sekali gus membolehkan negara memperoleh lebih banyak mata wang asing. Pembinaan hotel dan rumah penginapan yang tumbuh seperti cendawan tumbuh selepas hujan di bandar atau di desa di seluruh negara membuktikan kesungguhan negara dalam usaha menarik kedatangan pelancong ke negara ini. Penyediaan kemudahan penginapan harus juga mengambil kira kadar sewa dan taraf sesebuah hotel yang dibina itu. Masalah tandas yang terhad dan berbau busuk selain bekalan air dan elektrik yang kerap meragam perlu diatasi. Prasarana ini hendaklah dijaga agar pelancong tertarik untuk berkunjung lagi ke sini. Tegasnya, keselesaan pelancong ketika menginap di negara kita perlu dititikberatkan agar industri ini dapat dibangunkan.
         
          Bukan itu sahaja usaha LPPM mempromosi Malaysia dengan mengiklankan negara kita pada dinding 60 buah bas di kota London pada suatu ketika dahulu menandakan usaha serius pihak terbabit dalam menarik lebih banyak pelancong datang ke negara ini. Jika maklumat yang lengkap sampai ke pengetahuan pelancong, mereka tentunya akan datang melawat negara kita pada suatu hari kelak. Pendek kata, komitmen kerajaan dengan badan-badan tertentu dalam menyebarkan keunikan negara kita ke peringkat global turut merancakkan perkembangan industri ini.

            Di samping itu, langkah-langkah keselamatan juga perlu diambil bagi menjamin kepuasan dan kesejahteraan pelancong semasa berada di negara kita. Kita tidak seharusnya lupa dengan gelagat segelintir masyarakat yang mengambil kesempatan ke atas pelancong. Oleh itu, Unit Keselamatan Pelancong perlu ditubuhkan untuk membantu pihak polis menangani jenayah ke atas pelancong. Kejadian-kejadian rogol, mencabul kehormatan, menghendap, peras ugut, rompak dan tipu harus ditangani secepat mungkin. Kejadian seumpama ini akan membimbangkan pelancong untuk melancong di negara kita dan sekali gus akan mengancam industri ini. Oleh itu, pihak berautoriti perlulah menambahkan bilangan anggota keselamatan terutamanya di destinasi tumpuan pelancong agar keselamatan dan kesejahteraan pelancong akan terjamin. Rondaan juga perlu dilakukan dengan lebih kerap dan lebih banyak pondok keselamatan didirikan. Dengan ini, pihak yang ingin melakukan perbuatan yang terkutuk tidak dapat dilakukan kerana adanya kawalan dan pemantauan yang ketat oleh pihak berkuasa. Ringkasnya, aspek keselamatan perlu dititikberatkan agar pelancong asing terus berkunjung ke negara ini dan memelihara imej negara.

            Pihak kerajaan dan pihak swasta juga menawarkan pelbagai usaha untuk memperkenalkan Malaysia ke mata dunia dengan menggiatkan promosi untuk merancakkan aktiviti pelancongan yang diadakan di negara kita. Promosi tentang destinasi pelancongan yang menarik, kebudayaan dan karnival jualan boleh dilaksanakan dengan komitmen yang padu bukan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga ataupun hangat-hangat tahi ayam. Sebagai contohnya, kementerian Pelancongan telah mengadakan promosi kebudayaan bagi menarik pelancong dari Asia Barat seperti di Dubai dan di Arab Saudi. Usaha memperkenalkan negara ini juga boleh dijalankan melalui penggunaan teknologi maklumat seperti internet bagi menyebarluaskan maklumat tentang pelancongan di negara ini. Penggunaan internet dapat memastikan semua pelancong memperoleh maklumat yang tepat mengenai destinasi pelancongan menarik dan aktiviti pelancongan di Malaysia. Jelasnya, promosi yang giat dapat memastikan semua maklumat pelancongan disebarkan secara berkesan bagi menarik kunjungan pelancong.Karnival pelancongan ialah kaedah yang berkesan untuk memperkenalkan negara kita sebagai destinasi pelancongan.Dalam karnival ini banyak perkara yang dapat diketengahkan.Antaranya ialah tempat-tempat menarik di Negara ini, makanan yang pelbagai dan juga kebudayaan masayarakat pelbagai kaum.Selain itu karnival ini juga wajar menyediakan pakej-pakej pelancongan yang kompetitif kepada masyarakat antarabangsa.Karnival ini hendaklah diadakan di seluruh dunia.  Hal ini demikian juga mampu menjadi daya tarikan pelancong untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang diminati. Natijahnya, industri pelancongan negara kita dapat bersinar dan terserlah ke seluruh dunia dan dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara lain.

        Selain itu, pihak swasta haruslah berganding bahu dengan pihak kerajaan membuka pusat-pusat percutian yang bertaraf dunia agar industri pelancongan negara kita dapat bersaing dengan negara-negara lain di dunia. Hal ini serupa dengan bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Inisiatif ini boleh dilaksanakan dengan memperbanyak pembinaan hotel lima bintang yang mengenakan kadar bayaran berpatutan diiringi dengan bilik yang selesa untuk menarik minat pelancong . Sebagai analoginya, tindakan yang dijalankan oleh Hotel Seri Malaysia memperkenalkan pakej penginapan murah berserta makanan tradisional tempatan telah berjaya meningkatkan jumlah pelancong menginap di hotel tersebut. Bagi membuktikan perkara ini, perangkaan yang boleh diketengahkan ialah pertambahan ketibaan pelancong antarabangsa dan pertumbuhan pelancongan domestik yang kukuh telah menyumbang kepada peningkatan kadar penginapan hotel purata daripada 59.2 peratus pada tahun 2000 kepada 63.5 peratus pada tahun 2005. Pendek kata, sekiranya langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik dijalankan secara berterusan sudah tentu kedatangan pelancong ke Malaysia bagaikan di mana ada gula di situ ada semut. Seperkara lagi, pelbagai aktiviti yang menarik perlulah diadakan oleh pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan. Aktiviti yang dimaksudkan adalah seperti pameran kejohanan sukan bertaraf dunia termasuklah pameran Maritim dan Udara Langkawi (LIMA), Kejohanan Kereta Formula Satu dan Kejohanan Lumba Basikal Tour de Langkawi. Kejohanan-kejohanan dan pameran ini perlu dirancang dengan teliti agar dapat dijalankan sepanjang masa dengan promosi yang lengkap dan meluas. 
Penganjuran sukan bertaraf antarabangsa dapat memperkenalkannegara kepada perwakilan atau atlet-atlet dari luar negara seterusnya dapat menarik kedatangan pelancong dari seantero dunia dan membuktikan kepada mereka bahawa Malaysia bukan sahaja cemerlang dari segi penganjuran sukan bertaraf antarabangsa tetapi juga terbilang dalam bidang pelancongan. Kesannya, kedatangan pelancong ke negara kita juga akan berterusan tanpa menunggu musim-musim tertentu sahaja. Dengan cara ini, kita dapat meningkatkan ekonomi negara dan mengekalkan pulangan yang diperoleh daripada kedatangan pelancong ke negara kita. Hal ini dapat diibaratkan sambil menyelam minum air. Jelaslah bahawa industri pelancongan dapat dimajukan dengan mengadakan pelbagai aktiviti negara yang menarik.

     Masyarakat juga boleh bersama-sama membantu memartabatkan bidang pelancongan negara. Sikap ramah dan suka membantu pelancong harus diutamakan oleh rakyat Malaysia. Keramahan rakyat negara ini harus dibuktikan melalui sikap ikhlas melayan tetamu kita itu. Umpamanya, pemandu teksi yang dianggap sebagai duta pelancongan negara haruslah bersikap ramah, mesra dan menjauhi amalan ingin mengambil kesempatan atas kehadiran pelancong asing bagi mengaut keuntungan dengan mudah. Rakyat perlulah menunjukkan nilai sopan santun dan lembut bahasa kerana budi bahasa budaya kita. Rakyat negara ini harus mengubah sikap mereka dengan melayan para pelancong dengan lebih baik agar kunjungan mereka ke Malaysia sentiasa memberikanmemorabilia sepanjang hidup mereka. Masyarakat Malaysia perlulah mengelakkan sikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Deduksinya, sinergi daripada pelbagai lapisan masyarakat dapat membantu meningkatkan bidang pelancongan negara seterusnya dapat menyumbang kepada kemajuan negara.

       



           Antara cabaran yang dihadapi di dalam industri pelancongan adalah persaingan sektor pelancongan dengan negara-negara yang lain. Hal ini demikian,bukan sahaja negara kita tetapi negara-negara yang lain juga mengetahui kebaikan dan kepentingan sektor pelancongan terhadap sesebuah negara. Oleh itu banyak negara mempromosikan pelancongan di negara mereka dan kita hendaklah bersaing dengan mereka untuk menjadi destinasi utama pelancong. Oleh itu, kita haruslah membuat persediaan yang cukup untuk menarik para pelancong ke negara kita.

                Di samping itu, pencemaran alam sekitar juga merupakan salah satu cabaran sektor pelancongan di negara kita pada masa depan. Hal ini disebabkan, pencemaran alam sekitar kebelakangan ini menjadi semakin buruk akibat sikap tidak bertanggungjawab segelintir ahli masyarakat dan telah merosakkan kecantikkan alam sekeliling kita. Pada masa kini,negara kita mempunyai alam sekeliling yang cantik sekali dan telah menjadi tulang belakang bagi sektor pelancongan di negara kita. Jika pencemaran alam sekitar menjadi buruk, sektor pelancongan di negara kita pasti dijejaskan kerana pelancong-pelancong  hendak menikmati persekitaran yang cantik dan bersih bukan yang kotor serta busuk.Selain itu, tidak kestabilan politik di negara kita juga merupakan cabaran yang kita akan hadapi  politik yang tidak stabil akan menjejaskan imej negara.Sebagai contoh, Pergaduhan yang berlaku kebelakangan ini di Thailand. Kekeliruan ini telah menyebabakan pelancong dari negara lain tidak berani pergi ke sana disebabkan kaselamatan diri semasa melancong. Ramai pelancong tidak lagi suka datang ke sini atau memberitahu kawan-kawan mereka tentang keindahan negara kerana imej yang sudah terjejas itu. Lama-kelamaan, imej yang tidak dijaga ini akan membawa lebih banyak kemusnahan imej. Jelaslah, politik yang tidak stabil akan membawa banyak kesan buruk pada sektor pelancongan.Bukan itu sahaja, kebudayaan tempatan yang semakin dilupai oleh orang ramai juga merupakan salah satu faktor. Pada era globisasi ini, terdapat ramai remaja mengabaikan kebudayaan sendiri dan mempelajari budaya Barat. Remaja hari ini beranggap bahawa mereka akan diketawai oleh kawan mereka jika mereka mewariskan budaya daripada nenek moyang mereka. Kebudayaan merupakan faktor yang penting dalam sektor pelancongan kerana pelancong-pelancong ingin merasai kebudayaan yang tidak sama di negara lain. Banyak kebudayaan tempatan semakin dilupai seperti  permainan, seni , persembahan yang tradisional dan seandai-andainya.Selain itu isu seperti kes jenayah yang melibatkan keselematan pelancong asing dan banjir besar yang berlaku di pantai timur semenanjung Malaysia  yang berlaku dipenghujung tahun 2013 adalah antara isu besar yang membuatkan pelancong hilang keyakinan untuk memilih negara ini untuk melancong. Itu belum lagi soal sentimen politik yang dimainkan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggung jawab dengan merancang demonstrasi menggulingkan Kerajaan.Selain kita sibuk membuat promosi di dalam dan luar negara dengan pelbagai kempen mempromosikan destinasi dan acara bersempena Tahun Melawat Malaysia, kita juga harus bersedia dengan pelbagai plan tindakan dan pengurusan krisis untuk memulihkan semula keyakian pelancong yang terhakis akibat daripada perkara tersebut.Tidak dinafikan juga kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH370 juga antara yang memberi kesan kepada sektor pelancongan negara,
insiden pesawat hilang tersebut menyebabkan jumlah pelancongan luar terutama dari China, berkurangan secara mendadak.Persepsi negetif berhubung insiden itu jelas member kesan mendalam kepada syarikat penerbangan negara dan pergerakan orang ramai dari satu destinasi ke destinasi yang membabitkan perhubungan udara serta industri hiliran yang berkaitan termasuk sektor pelancongan.

Dari segi pembangunan IKS luar bandar, industri pelancongan merupakan satu daripada beberapa agen yang mampu membawa kepada perubahan pembangunan di sesuatu kawasan desa. Melalui aktiviti-aktiviti pelancongan yang di bawa oleh industri ini, penduduk tempatan dapat memperolehi pelbagai faedah terutamanya dari aspek ekonomi, fizikal dan juga sosial. Secara tidak langsung, penduduk dikawasan desa dapat meningkatkan taraf hidup mereka dari segi ekonomi dengan cara menghasilkan kerja tanagan mereka sendiri seperti kraftangancara hidup dan menteliti.
Penglibatan penduduk tempatan dalam aktiviti pelancongan dapat dilihat dari dua sudut iaitu yang pertama penglibatan penduduk tempatan dalam membuat keputusan dan kedua penglibatan penduduk tempatan dalam mendapat keuntungan atau faedah hasil dari aktiviti pelancongan. Melalui jenis penglibatan yang pertama, penduduk tempatan berpeluang untuk menyuarakan harapan dan keinginan mereka kepada pihak yang akan membangunkan kawasan berkenaan. Lazimnya, ia berkait rapat dengan perubahan fizikal persekitaran yang merangkumi aspek semulajadi dan juga buatan. Aspek yang kedua pula memberi peluang kepada mereka untuk meningkatkan ekonomi dan taraf hidup. Ia diperolehi melalui peluang-peluang yang wujud hasil dari pembangunan aktiviti pelancongan seperti mengusahakan perkhidmatan pengangkutan, penginapan, kraftangan dan lain-lain lagi. Pada keseluruhannya, IKS memainkan peranan yang penting dalam mencapai Wawasan 2020.Kepelbagaian kebudayaan dan adat resam penduduk tempatan juga dapat menarik banyak pelancong datang ke negara ini. Malaysia yang memang kaya dengan pelbagai jenis kebudayaan seperti tarian Melayu, India, Cina, dan suku kaum di Sabah serta Sarawak mampu menghiburkan pelancong, khususnya kepada pelancong yang gemar kepada sesuatu yang baru. Kebanyakan pelancong memang gemar melihat kehidupan masyarakat di sesuatu tempat. Rumah Budaya di Kuching, Sarawak menempatkan pelbagai jenis rumah dan kebudayaan suku kaum di negeri berkenaan dan sentiasa menjadi tumpuan pelancong yang berkunjung ke sana. Kementerian terbabit harus menjadikan pelbagai budaya yang unik di negara kita sebagai daya tarikan utama dalam membangunkan industri pelancongan dengan rnemperkemas persembahan yang sedia ada.

Berdasarkan penerangan di atas, jelaslah bahawa terdapat pelbagai cara yang dapat  dilakukan untuk memajukan industri ini. Segala usaha yang direncanakan itu memerlukan obligasi dan komitmen jitu daripada semua pihak serta perlu dijalankan secara bijaksana umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak. Usaha yang holistik dan syumul ini perlu dijalankan secara sistematik  dan tidak hanya sekadar melepaskan batuk di tangga. Diharapkan industri pelancongan negara ini akan terus berkembang dan sentiasa meniti dari bibir ke bibir rakyat di peringkat glokal dan global. Bukan itu sahaja, diharapkan juga industri pelancongan di Malaysia dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara pelancongan yang lain.



            Kesimpulannya, industri pelancongan banyak memberi manfaat yang tindak ternilai kepada negara kita.Pelancongan tidak wujud tanpa adanya pelancong, malah pelancong adalah ejen penting yang menentukan sama ada industri pelancongan terus berkembang atau sebaliknya.Sektor-sektor yang terlibat dalam menawarkan produk ataupun perkhidmatan juga perlu dititik beratkan kerana merekalah yang berperanan dalam mewujudkan suatu persekitaran pemasaran pelancongan yang global.Oleh hal yang demikian, semua pihak di negara kita harus berganding bahu bagi memperkasa sektor pelancongan sebagai sektor yang mampu membangunkan ekonomi negara kita. Jika tidak, negara kita terpaksa mengalami kemunduran yang menyebabkan negara kita tidak berkembang maju. Justeru, pelbagai strategi yang efektif haruk disusun bagi mengembangkan sektor pelancongan.